21 Mei 2026 (Khamis) | Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) telah mengadakan Majlis Apresiasi Warga Kerja PPAT Tahun 2026 sebagai manifestasi penghargaan dan pengiktirafan kepada seluruh warga kerja PPAT atas komitmen, dedikasi serta kecemerlangan dalam memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan organisasi. Majlis ini turut meraikan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 dan 2026 serta kakitangan yang telah dan bakal bersara bagi tempoh tahun 2025 hingga 2027 sebagai tanda penghormatan terhadap jasa dan sumbangan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Majlis turut diserikan dengan Pelancaran Pelan Strategik PPAT 2026 - 2030, Pelancaran Maskot PPAT dan PPAT Riders, Penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang bagi bulan Januari hingga Mac 2026 serta Anugerah Infaq Buku Tertinggi. Pengisian program diteruskan dengan Taklimat Bazar Buku @PPAT 2026 yang disampaikan oleh Dr. Kamarulzaman b. Mahmood, Timbalan Pengarah (Operasi), diikuti Taklimat "Membina Sinergi Integriti Asas Hubungan Kerja Harmoni” oleh Puan Azlinawaty bt. Muda, Penolong Pengarah (Perkhidmatan Perpustakaan dan Maklumat). Turut berlangsung penyampaian Sijil Kursus “Teaching The Caterpillar to Fly” serta penghargaan khas kepada kakitangan yang tidak mengambil Sijil Sakit (MC) sepanjang tahun 2025.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBrs. Puan Nuzulnisa bt. Barudin @ Kamarudin dan seterusnya telah disempurnakan oleh YB. Dato' Haji Mohd. Azmi b. Mohamad Daham, Setiausaha Kerajaan Terengganu. Penganjuran majlis ini diharapkan dapat terus menyemarakkan budaya kerja berprestasi tinggi, memperkukuh semangat kebersamaan serta menjadi pemangkin kepada kecemerlangan berterusan dalam merealisasikan aspirasi dan hala tuju strategik PPAT.








