
Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu yang diwakili oleh Kumpulan KIK Smart Layer telah dinobatkan sebagai juara bagi Kategori Teknikal sempena Konvensyen KIK Perpustakaan Semalaysia ke 4 tahun 2012 dan telah berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000.00 serta diiringi piala pusingan. Konvensyen KIK tersebut telah berlangsung selama dua hari bermula pada 18 hingga 19 September 2012 bertempat di Permai Hotel Kuala Terengganu. Kategori Pengurusan dimenangi oleh KIK Titanium dari Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR),Shah Alam. Sebanyak 16 kumpulan telah menyertainya termasuk Perpustakaan Awam dan Universiti , 10 daripadanya bagi Kategori Pengurusan manakala 6 pasukan dari kategori Teknikal. Konvensyen tersebut telah dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu dengan kerjasama Persatuan Pustakawan Malaysia (Kumpulan Timur) dan Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam SeMalaysia. Penyampaian hadiah telah dilakukan oleh Puan Maimunah bt. Abdul Kadir yang mewakili Yang diPertua Persatuan Pustakawan Malaysia.

