KESENIAN RODAT DI TERENGGANU

persembahan rodat

               bt_image3.gif (523 bytes) PENGENALAN   bt_image3.gif (523 bytes) TUKANG ADI   bt_image3.gif (523 bytes) MAK INANG   
             bt_image3.gif (523 bytes) ASAL USUL   bt_image3.gif (523 bytes) MEMUJI TUHAN bt_image3.gif (523 bytes) TERPESONA

       

 

 

 

PENGENALAN

PERMAINAN rodat  merupakan salah satu daripada kesenian rakyat Terengganu yang masih subur hingga sekarang. Walaupun tahun enam puluhan kemajuannya terganggu seketika oleh kehebatan kemunculan bentuk-bentuk hiburan moden yang memikat hati masyarakat. Permainan ini terdiri dari satu pasukan atau lebih yang digabungkan. Anggota-anggota yang mengambil bahagian dalam permainan ini terdiri dari tiga kumpulan. Satu kumpulan lebih kurang 10 orang pemukul rebana Tar, iaitu sejenis rebana kecil menarik. Mereka ini kebanyakkannya terdiri daripada kaum lelaki dewasa berumur 50 - 60 tahun.

Kumpulan kedua berjumlah 20 -30 orang ialah orang-orang menenggak ( orang Nenggak ) yang terdiri dari kaum lelaki yang berumur antara 20 - 35 tahun. Selalunya mereka ini berpakaian seragam melayu bersongkok hitam, berselepang dan bersamping. Satu lagi kumpulan ialah kumpulan Mak Inang yang terdiri dari penari-penari atau perempuan berumur antara 17 - 25 tahun.

 

Kembali Ke menu Tarian Rodat

 


TUKANG ADI

Orang-orang yang memukul Rebana Tar itu disamping memukul rebana, juga bertugas menyanyi lagu-lagu untuk mengajar atau menyanyikan lagu-lagu bagi mengiringi orang Menegak dan Mak Inang. Di antara mereka terdapat seorang ketua yang digelar Tukang Adi. Tukang Adi ini akan membaca lagu-lagu rodat dari kitab Hadrah yang diletakkan di depannya untuk maksud tersebut. Kitab ini dipercayai dibawa dari Timur Tengah. Para pemukul rebana ini mengambil tempat paling hadapan sekali di muka pentas, bersila mengadap kumpulan Mak Inang dan Orang Nenggak. Orang Nenggak pula berbaris di tempat belakang sekali dengan susunan rapi … is a row of a dozen boys or youths, arranged meticulously according to size so that the shortest are at either end and the tallest is the middle … (1). Mereka bertugas menyanyi sambil menari-nari (yang kebanyakkan lagu-lagu memuji Nabi dan Tuhan ) dan menepuk tangan mengikut irama rodat, sepanjang permainan dilaksanakan baik, mengiringi Mak Inang atau tidak. Manakala Mak Inang yang biasa mengambil tempat antara kumpulan Pemukul Rebana Tar dan Orang Nenggak adalah penting dalam permainan ini untuk menarik perhatian orang ramai.

 

Kembali Ke menu Tarian Rodat

 

 


MAK INANG

Mak Inang hanya keluar menari dan menyanyi pada masa tertentu saja dalam satu-satu pertunjukan kecuali dalam pertandingan Rodat Berlawan dimana Mak Inang dan peserta-peserta lainnya terpaksa bermain sepanjang malam pertunjukan berjalan menurut waktu yang telah ditetapkan.

Rodat selalunya dipertunjukkan waktu malam. Biasanya dari jam sepuluh malam hinggalah fajar menyinsing. Pertunjukan diadakan apabila adanya majlis-majlis kahwin, kenduri, khatan, pesta-pesta perayaan atau Temasya Main Pantai. Akan tetapi di Pesta-pesta atau perayaan ini, masa pertunjukan ini lebih terbatas. ' Sekiranya sesuatu keramaian itu tidak mengandungi Rodat maka murahlah majlis itu, demikianlah peri dan besarnya tarian Rodat pada masa sebelum perang dulu' (2). Ia sekarang dipertunjukkan juga di atas pentas seperti Persembahan Dendang Rakyat. Rodat mendapat sambutan terutamanya di daerah-daerah Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Berang. Malah permainan ini mendapat sambutan juga di negeri-negeri lain seperti di Pahang misalnya.

 

Kembali Ke menu Tarian Rodat

 

 


ASAL USUL

Hingga ke hari ini belum dapat dipastikan dengan tepat bilakah Permainan Rodat ini bermula di Terengganu. Mengikut para-para guru rodat di Terengganu, asal Rodat yang sebenarnya ialah dari Timur Tengah. Ini berdasarkan lagu-lagu yang dinyanyikan adalah disalin daripada Kitab Hadrah, begitu juga dengan Rebana Tar yang digunakan hampir sama dengan rebana Hadrah … (3). Sebelum tiba di Terengganu, rodat ini dipercayai dibawa oleh pedagang-pedagang dari Pulau Sambas di Borneo. … "Very few of the instructor of performers had any idea of the origin of the performance, but in one or two cases it was recalled that years ago natives of Sambas in Borneo used to come anually in the fine weather for trading, and that during their stay in Terengganu they used to dance the 'Rodat' …The dance had proved popular and the local people had learn it from the traders … " (4).

Mengikut pengarang Mastika Ogos 1967 mengatakan lebih kurang 50-60 tahun dahulu Tarian Rodat ini dibawa oleh pedagang-pedagang Sambas dan Pontianak ke Terengganu. Mereka ini datang ke Terengganu untuk membeli budu, kain songket, benang emas, perkakas tenunan dan lain-lain. Mereka belayar dengan perahu besar. Tiba di Teluk Terengganu bila hari malam anak-anak kapal Sambas ini pun berkumpulan 10 - 20 orang sambil memukul rebana kecil yang memang mereka bawa belayar bersama-sama dan menyanyilah mereka sambil menari hingga jauh malam. Suara yang lunak lembut semakin larut semakin menjolok perasaan telah menarik perhatian penduduk-penduduk pantai Kuala Terengganu, bahkan menarik mereka menghampiri perahu-perahu besar Sambas itu. Dari sinilah mereka mula belajar Rodat. (5).

Tetapi menurut seorang Tok Guru Rodak Encik Salleh bin Musa ( 56 tahun ) mengatakan lebih kurang 70 -80 tahun lepas pedagang-pedagang kain dari Terengganu iaitu Muhammad Kepak, Cik Udun dan Abdullah Pepeh merupakan tokoh-tokoh yang membawa balik pelajaran Rodat ini yang dipelajari di Sambas. Mereka inilah yang memulakan Permainan Rodat di Terengganu khasnya di Kampung Pasir Panjang. Muhammad Kepak berperanan sebagai Tukang Adi, Cik Udin sebagai Orang Nenggak dan Abdullah Pepeh sebagai penghafal lagu-lagunya. Mulai dari ini tersebarlah permainan rodat ke seluruh negeri Terengganu.

 

Kembali Ke menu Tarian Rodat

 

 


MEMUJI TUHAN

Mengikut pendapat Haji Salleh bin Awang (6) perkataan Rodat itu sendiri memang berasal dari Perkataan Arab yang bermaksud ulang-alik, bersahut-sahutan kembali atau yang menunjukkan berbalas-balas. Jadi keadaan nyanyi berbalas-balas di antara Mak Inang dan Orang Nenggak inilah menyebabkan ianya dinamakan Rodat. Oleh itu sudah tentu rodat ini berasal dari Tanah Arab. Ini diperkuatkan buktinya dengan senikata nyanyian di dalamnya keseluruhan dari perkataan Arab
( Kitab Hadrah ) mengenai pujian pada Nabi dan Tuhan. Rodat ini juga dipercayai lahir bersama-sama Nazam, Maulud, Berzanji, Zapin, Hasidah, Nasyid dan Berhadrah yang kesemuanya dari Arab mengandungi unsur-unsur keislaman memuji Tuhan dan Nabi.

Mengikut Kamus Dewan pula perkataan 'Rodat' membawa erti seni nyanyian Arab yang diiringi dengan Rebana Tar. Jadi dari keseluruhan penerangan di atas dapat dikatakan yang asal usul Permainan Rodat di Terengganu ini adalah berasal dari Tanah Arab Timur Tengah. Melalui perdagangan akhir abad 19 ianya membawa ke Kepulauan Melayu khasnya di Sumatera, Borneo dan Tanah Semenanjong ( Terengganu ). Wujudnya hubungan dagang antara Terengganu, Kepulauan Melayu khasnya Sambas dan pedagang-pedagang Arab menyebabkan Permainan Rodat diperkenal dan dihayati oleh masyarakat Terengganu. Permainan ini akhirnya telah menjadi permainan tradisi yang terkenal di kalangan rakyat negeri Terengganu.

 

Kembali Ke menu Tarian Rodat

 

 


TERPESONA

Mengenai Kitab Hadrah yang dimaksudkan, menurut setengah-setengah pendapat ahli-ahli rodat pula mengatakan Kitab Hadrah yang digunakan untuk permainan rodat adalah ciptaan seorang tokoh Islam di Baghdad pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. bernama Hadrah. Beliau hidup sebagai seorang pencipta seni yang agung serta masyhur pada zaman itu. Dalam masa riwayat hidup Hadrah, beliau telah melakukan suatu kesalahan terhadap raja dan pemimpin Islam zaman itu, lalu dijatuhkan hukuman mati. Tetapi sebelum Hadrah di pancung, Hadrah meminta kebenaran untuk membaca segala hasil karya beliau kepada Raja dan orang ramai.  Setelah diberi kebenaran, Hadrah mula berzikir dengan melafazkan kalimat-kalimat yang tinggi mutunya kepada orang ramai dimana kalimat-kalimat itu merupakan puji-pujian kepada Allah, Nabi dan Rasul. Setelah berhari dan bermalaman melafazkan maka raja dan pemimpin-pemimpin Islam serta orang ramai yang menyaksikan, terpesona mendengarkan persembahan Hadrah itu lalu Raja mengubah keputusan membebaskan Hadrah. Hadrah diperintahkan oleh Raja mengumpulkan lagu-lagunya tadi dan dijadikan sebuah kitab. Kitab itu dinamakan Kitab Hadrah (7). Kitab Hadrah ini panjangnya 10" dan tebalnya 1", berkulitkan kulit unta.

 

Diantara nama-nama lagu penting yang masih digunakan dalam Permainan Rodat yang terdapat di dalam Kitab Hadrah ini ialah:-

Ya hayum ya qayum ( nama Tuhan yang mengidupkan ).

Sillatullah ( hubungan dengan Tuhan ).

Ya rasul Ya Rasulullah ( Wahai Rasul, wahai pesuroh Allah )

Allah la illa ha illa llah ( tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah ).

Zikri Nabi - al - mukhtar ( Nabi yang terpuji ).

Hingga sekarang untuk mengajar atau diperturukan permainan Rodat, Kitab Hadrah ini masih digunakan tapi soal ketulinannya tidak dapat dipastikan kerana perubahan masa dan salinan-salinan yang banyak dibuat tentu sekali banyak diubah suai.

 

Kembali Ke menu Tarian Rodat

 

OLEH: ENCIK HASHIM EMBONG-
Sumber: (KoleksiTerengganu PPAT)