Kraftangan

Batik

Batik

Batik merupakan pakaian universal dan agak murah. Menjadi pakaian pilihan di majlis-majlis rasmi.

Batik bererti menulis titik-titik simbol atau bunga-bunga yang berupa motif di atas permukaan kain yang berasal dari perkataan 'mba' (Jawa) bererti menulis dan titik-titik (Melayu).Pengkelasan batik berdasarkan jenisnya dapat dibahagikan kepada tiga iaitu batik sarung, batik panjang dan batik ela. Teknik pembuatan batik juga dibahagikan kepada tiga iaitu teknik blok, teknik stensil dan teknik conteng.

Dengan kaedah pewarnaan dan teknik yang lebih canggih batik kini dihasilkan bukan sahaja menggunakan kain tetapi juga dengan sutera, satin serta dan untuk kegunaan barang perhiasan seperti alas meja, cadar, tas tangan dan lain-lain.

 

 

 

Songket

Songket

Songket diusahakan sejak berzaman di Pantai Timur dan di Terengganu merupakan negeri bermulanya pusat tenunan di Semenanjung. Songket menjadi pakaian golongan istana, orang-orang besar dan kenamaan. Hari ini songket sudah menular lebih jauh lagi. Dipelbagaikan dalam bentuk penghias dinding ( seni khat ), pakaian pengantin dan patung, cenderamata, tas tangan, lapik pinggan, sarung kusyen, cadar, album dan lain-lain.

Keanggunan songket terletak pada sulaman halus benang emas dan perak yang menarik. Songket bukan sahaja mahal, tetapi juga memerlukan masa berminggu-minggu untuk menyiapkan satu tenunan dengan menggunakan bahan-bahan yang mahal.

6 bentuk utama songket iaitu songket bunga penuh, songket bunga bertabur, songket corak jalur, songket corak siku keluang, songket tapak catur dan songket pucuk rebung.

Seperti juga batik, penggubah-penggubah bunga kain songket juga memerlukan daya kreatif yang tinggi untuk membentuk satu hasil yang tinggi mutunya.

Nama  'songket' dipercayai berasal dari 'sungkit'. Menyungkit adalah suatu teknik atau cara kerja khusus dalam proses menenun kain songket. Teknik ini melibatkan penggunaan alat yang diperbuat daripada buluh, lidi atau bilah nibung.

Dalam proses menenun, kesabaran, ketelitian, penglihatan dan memori yang baik sangat penting.

Keindahan songket terletak pada kepelbagaian dan kehalusan coraknya, juga terdapat 100 motif tradisional pada kain songket.

 

 

Sutera

Sutera

Sutera sebagai fabrik yang sering dikaitkan dengan lambang kemewahan dan berprestij. Dari segi kehalusan tekstur, kelembutan tekstil dan kesenian reka coraknya, diakui sutera mempunyai daya penarik tersendiri kepada pemakainya. Warisan ini semakin diminati oleh orang tempatan serta pengunjung dari luar negara.  Sutera Malaysia mulanya dihasilkan di Terengganu. Kualitinya diterima setanding dengan sutera dari China yang merupakan penghasil sutera terbanyak dan dikatakan berasal dari sana. 

Selain dari jalinan benang yang halus, rekabentuk coraknya yang tersendiri dan eksklusif, ia benar-benar menyerlahkan prestij pemakainya.

Untuk mendapatkan sutera yang baik, ulat sutera tersebut hendaklah terdiri dari baka yang baik. Teknologi pemeliharaan yang cekap dan cara proses yang betul.

 

 

 

Seni Anyaman

Seni Anyaman

Seni anyaman sesuatu yang tidak dapat dipisahkan daripada cara hidup tradisional masyarakat di nusantara. Daripada tikar pengalas punggung kepada dinding pelindung kediaman. Kecekapan tangan diadun dengan ketekunan dan kemahiran yang tinggi boleh menghasilkan sesuatu yang menarik. Mengkuang , pandan, buluh, rotan, kercut boleh dijadikan bahan untuk menghasilkan seni kraf yang menarik untuk menghasilkan bahan-bahan kegunaan seperti beg tangan, selipar, tikar dan hiasan dinding. Hasil anyaman mengkuang lebih kasar berbanding pandan yang lebih halus, licin dan berkilat dan sesuai dengan harganya yang agak tinggi berbanding mengkuang.

 

Corak anyaman umumnya disebut ' kelarai'. Bagaimanapun, khusus untuk tikar mengkuang, kelarainya sebagai 'ragi'.

 

 

Ukiran Tembaga

Ukiran Tembaga

Barangan tembaga yang dihasilkan di Terengganu adalah merupakan seni pertukangan yang memerlukan masa serta kemahiran. Kemahiran ini terus dipusakai dari satu generasi ke generasi yang lain dan terus hidup hingga sekarang. Pada keseluruhannya perusahaan kraftangan ini melibatkan 90% kerja-kerja tangan yang memerlukan kemahiran. Hanya kerja-kerja di peringkat mencuci sahaja yang menggunakan alat jentera ringan.

Adalah dipercayai seni ini diwarisi dari ahli seni ( tukang ) dari China yang berhijrah ke sini dari Funan, China. Tembaga Terengganu adalah hasil campuran tembaga putih, kuning dan zink.

Barangan logam yang dihasilkan seperti tepak sirih, pemegang lilin, bekas habuk rokok, ketur basuh tangan dan juga dalam bentuk cenderamata seperti penyu, keris, pasu dan lain-lain.

Kemahiran dan sentuhan halus penghasilnya memberikan nilai astetik yang tinggi dan dijadikan bahan untuk perhiasan.

 

 

Ukiran Kayu

Ukiran Kayu

Ukiran ialah hasil seni rupa tradisi melayu yang terulung. Seni ukiran kayu ini diwarisi dari pakar-pakar terdahulu. Seni ini memerlukan kemahiran serta ketekunan yang tinggi bagi menghasilkan satu ukiran yang terbaik Hasil ukiran ini terjelma dalam bentuk binaan rumah, masjid, kepala perahu dan perabot seperti almari, katil, kerusi, meja dan lain-lain.

Tiga teknik utama dan gaya  di dalam seni ukiran melayu ialah tebuk terus, tebuk separuh dan tebuk timbul. Bentuk ukiran juga ada tiga  jenis utama: bujang, lengkap dan pemidang.

Pengukir cuma memerlukan alat-alat biasa ketukangan, gergaji , ketam, tukul besi dan paling penting pahat.

 

  1 Malaysia Gov Malaysia Kerajaan Terengganu msc Mampu arkib negara dewanbahasa Perpustakaan Negara Malaysia Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang Perbadanan Perpustakaan Awam Perak Perbadanan Perpustakaan Awam Kuala Lumpur Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka Perbadanan Perpustakaan Awam Johor Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan Perbadanan Perpustakaan Awam Sarawak Perpustakaan Negeri Sabah